Thursday, October 15, 2009

Makanan Berkhasiat Untuk Murid di Sekolah

SETIAP hari dari Isnin hingga Jumaat, Siripak Hoshi, Yusuke Shinbata, Yujin Poku dan Kento Nimura, yang berada di kelas ketiga tahap empat Sekolah Rendah Nishikasai, Tokyo, Jepun akan menghadap makan tengah hari masing-masing di bilik darjah bersama-sama 16 pelajar lain dan guru kelas dengan makanan yang sama.

Di sini tiada kantin atau kafetaria untuk membeli makanan dan lebih penting murid-murid tidak dibenarkan membawa wang saku ke sekolah.

Ia agak berbeza dengan suasana waktu rehat di sekolah-sekolah Malaysia di mana murid-murid akan menuju ke kantin untuk membeli makanan yang kadangkala tidak berkhasiat manakala yang kurang mampu terpaksa berlapar atau makan bekal yang dibawa.

Program makan tengah hari yang diadakan di Sekolah Rendah Nishikasai ini agak baru bagi penulis dan mungkin boleh dicadangkan supaya suatu hari di Malaysia perkara yang sama dapat dilaksanakannya demi membentuk generasi yang sihat lagi berdisiplin.

Program makanan

Program makanan ini diiktirafkan sebagai terbaik di dunia khusus diwujudkan untuk murid-murid berumur enam hingga 12 tahun.

Selaras dengan itu, adalah tidak mustahil orang Jepun sering memegang rekod hidup lama yang dianggarkan bagi wanita 87 tahun manakala lelaki (78 tahun).

Panjang umur ini selain bergantung kepada genetik, ia turut mempengaruhi diet dan pemakanan.

Sebab itulah kerajaan Jepun memastikan masyarakatnya sentiasa sihat dengan mempraktikkan pengambilan makanan yang berkhasiat sejak dari kecil lagi.

Program itu telah termaktub dalam undang-undang di Jepun pada tahun 1954. Program yang dimulakan sejurus tamat Perang Dunia Kedua pada 1946 itu diadakan kerana pada waktu itu Jepun menghadapi kekurangan makanan dan menghadapi krisis kesihatan.

Tetapi pada akhir 1960-an dan 1970-an, ketika Jepun mula membangun sebagai kuasa besar ekonomi, program makan tengah hari di sekolah mula memfokuskan kepada aspek pendidikan di meja makan.

Pelajar mempelajari bagaimana pentingnya keseimbangan diet dan tatatertib di waktu makan.

Kini, Jepun yang menghadapi masalah gaya hidup terutama kegemukan, sindrom metabolik dan keluarga yang tidak makan bersama, maka program makan tengah hari itu diolah bagi menghadapi permasalahan ini.

Maka pada 1997, Kementerian Pendidikan, Sains dan Sukan telah mencadangkan program ini dirombak kepada pendidikan nutrisi.

Pada Julai 2005, kerajaan telah meluluskan undang-undang baru menerusi Shokuiku atau pendidikan nutrisi dan makanan. Oleh itu, hampir 99.2 peratus sekolah dan 85.8 peratus di sekolah menengah rendah di Jepun melaksanakan program ini.

Bagi menjayakan program ini, hampir setiap sekolah di 47 wilayah di Jepun akan ditempatkan seorang pakar pemakanan. Sehingga April lalu, seramai 2,648 orang bertanggungjawab melaksanakan promosi Shokuiku di sekolah.

Pengetua Sekolah Rendah Nishikasai, Kimiko Yabe berkata, lima hari seminggu sekolah harus menyediakan makanan tengah hari untuk 680 pelajar dan 48 kakitangan.

''Beberapa faktor diambil kira ketika menyediakan makan tengah hari ini. Kami akan pastikan menunya mesti mempunyai kekacang, kentang, daging, ikan dan sayuran supaya murid mendapat nutrien yang diperlukan.

''Program ini juga menetapkan sekurang-kurang murid mendapat 1/3 nutrien sehari daripada makanan tengah hari mereka di sekolah. Untuk kalsium dan vitamin yang agak sukar diperoleh di rumah, kami cuba menyediakannya supaya murid sekurang-kurangnya mendapatkannya separuh di sekolah.

Bahan mentah

''Selain itu, semua bahan mentah yang digunakan dalam masakan diperoleh dari kawasan setempat iaitu dari petani dan nelayan tempatan. Tiada makanan sejuk beku digunakan. Bahkan, murid-murid ini juga turut dibawa melawat ladang dan kawasan perikanan malah berkebun turut dijadikan kokurikulum.

"Mesej utama dalam program ini ialah makanan tempatan adalah sihat dan segar. Ladang yang kecil dan petani tempatan adalah persekitaran yang baik untuk mendapatkan sumber makanan kerana tidak menggunakan racun,'' katanya ketika menerangkan kepada peserta Lawatan Bekerja Probiotik ke Jepun anjuran Yakult Honsha Co. Ltd. baru-baru ini.

Tambah Yabe, dalam menentukan menu pula, sekolah memastikan murid mendapat tiga hari nasi putih, satu hari roti dan satu hari mi.

Sementara itu, pakar pemakanannya, Kiyoe Yoshida memberitahu, dalam menentukan menu supaya murid yang berada di peringkat pembesaran mendapat nutrisi yang seimbang dan mempelajari tabiat makan yang betul, beberapa faktor diambil kira.

Antaranya, menggunakan banyak buah-buahan dan sayuran semusim termasuklah komatsuna (bayam mustard Jepun), menggunakan perasa semula jadi, tidak mengambil terlalu banyak garam dan gula serta membanyakkan ikan dan kekacang untuk pengaliran darah.

Di samping itu menyediakan makanan yang harus dikuyah bagi membantu perkembangan dagu dan gigi, menghalang kaviti, menghalang daripada terlalu banyak makan dan obesiti.

''Kami juga memasak makanan tempatan dan tradisi Jepun serta makanan luar supaya murid turut merasai makanan daripada budaya lain.

''Kami turut menjalankan pelbagai aktiviti ketika murid-murid ini menghadapi makan tengah hari seperti membawa mereka makan di luar bilik darjah, atau mempelbagai jenis makanan d atau mengikut permintaan murid.

"Paling penting kami pastikan murid mengikut tatatertib di meja makan,'' katanya.

Semasa sesi lawatan, menu hari itu ialah nasi dan ikan, buah lai, sayur lobak dan sup sayur dan susu.

Sebelum menghadapi hidangan, semua murid harus mencuci tangan. Manakala beberapa murid yang ditugaskan mengendalikan pengagihan makanan akan memakai pakaian luar, penutup mulut dan topi.

Makanan itu akan diletakkan di dalam bekas-bekas aluminium dan dilabelkan mengikut kelas. Semua murid dan guru kelas akan makan di kelas masing-masing.

Carta makanan

Terdapat carta makanan yang dihidangkan pada hari itu bagi memudahkan murid mengetahui makanan yang dimakan dan kepentingannya dalam diet seharian.

Guru juga mengambil kesempatan mengajar murid mengenai tatatertib di meja makan dan memberitahu murid supaya berkelakuan baik ketika makan.

Pada akhir waktu makan, murid-murid ini akan membantu mengemas kembali bekas-bekas makanan dan mengasingkan lebihan dan membawanya ke dapur.

Kos untuk program makan tengah hari ini berbeza dari sekolah ke sekolah.

Menurut guru kelas tiga, tahap empat, Sayaka Ueda, ibu bapa harus membayar sebanyak 2,660 yen (RM106.40) sebulan seorang dan selebihnya disubsidi oleh kerajaan. Pembayaran harus dibuat menerusi pejabat pos atau bank.

''Murid-murid tidak dibenarkan membawa sebarang wang ke sekolah. Kadangkala ada juga masalah apabila ibu bapa tidak membayarnya, jadi kami akan mengambil tindakan dengan memanggil mereka.

''Dalam tiga atau empat kali setahun, sekolah turut menjemput ibu bapa menyaksikan sendiri program ini di samping mendengar ceramah nutrisi supaya ibu-ibu memasak makanan seperti mana di sekolah supaya mengelakkan daripada mengambil makanan segera,'' katanya diakhir pertemuan.

1 comments:

WhoSign said...

Sumber: Utusan Online 15 Oktober 2009