Wednesday, July 1, 2009

Apabila Murid Bercerita: Nama


Ramai di kalangan kami, murid-murid sungguh cuak apabila hendak memonteng kelas Cikgu Dee. Walaupun ada di kalangan murid yang nakal, jika hari itu ada kelas Cikgu Dee, pasti kehadiran penuh.

Apa yang ditakutkan dengan Cikgu Dee? Garang? Tidak. Besar? Juga tidak. Kuat membebel? Tidak juga.

Beliau ditakuti kerana beliau begitu mengingati nama-nama kami dan di mana tempat duduk kami. Pendek kata, kalau ada tempat lompang, beliau akan terus tanya, “Si Busu mana?” atau “Si Man ke mana?” atau “mana Seri?”.

Tidak cukup dengan itu, esok kena menghadap beliau.

Pada suatu ketika, saya sengaja hendak menguji daya ingatan beliau. Amin yang tidak datang, saya pindah ke tempatnya. “Hai! Tukar tempat hari ini, Busu. Amin mana?” “Sakit, cikgu.” Jawab saya ringkas. Memang sah beliau ingat betul, saya membuat kesimpulan.

Cikgu kata:

“Senang sahaja. Saya dulu sentiasa diingat oleh guru saya. Mungkin nama saya senang diingat. Sukanya hati apabila cikgu panggil nama kita. Apabila cikgu ingat kita, malulah kalau tidak dapat jawab. Nampak tidak pandai. Jadi, apabila saya menjadi guru saya pastikan saya ingat nama-nama anak murid saya.”

“Selain kita dapat ingat nama, kita lebih dekat dengan murid-murid kita, lebih mesra, dan lebih disegani.”



0 comments: